Sesungguhnya sesiapa yang mencari kebenaran, pasti akan menemuinya.  Kisah ini adalah kisah benar pengalaman seorang manusia mencari agama  yang benar (hak), iaitu pengalaman Salman Al Farisy
Marilah kita semak Salman menceritakan pengalamannya selama  mengembara mencari agama yang hak itu. Dengan ingatannya yang kuat,  ceritanya lebih lengkap, terperinci dan lebih terpercaya. seorang  sahabat Rasulullah saw.
Dari Abdullah bin Abbas Radliyallahu 'Anhuma berkata, "Salman  al-Farisi Radliyallahu 'Anhu menceritakan biografinya kepadaku dari  mulutnya sendiri. Kata Salman, "Saya pemuda Parsi, penduduk kota  Isfahan, berasal dari desa Jayyan. Bapaku pemimpin Desa. Orang terkaya  dan berkedudukan tinggi di situ. Aku adalah insan yang paling disayangi  ayah sejak dilahirkan. Kasih sayang beliau semakin bertambah seiring  dengan peningkatan usiaku, sehingga kerana teramat sayang, aku dijaga di  rumah seperti anak gadis.
Aku mengabdikan diri dalam Agama Majusi (yang dianut ayah dan  bangsaku).  Aku ditugaskan untuk menjaga api penyembahan kami supaya api  tersebut sentiasa menyala.
Ayahku memiliki kebun yang luas, dengan hasil yang banyak Kerana itu  beliau menetap di sana untuk mengawasi dan memungut hasilnya. Pada suatu  hari bapa pulang ke desa untuk menyelesaikan suatu urusan penting.  Beliau berkata kepadaku, "Hai anakku! Bapa sekarang sangat sibuk. Kerana  itu pergilah engkau mengurus kebun kita hari ini menggantikan Bapa.''
Aku pergi ke kebun kami. Dalam perjalanan ke sana aku melalui sebuah  gereja Nasrani. Aku mendengar suara mereka sedang sembahyang. Suara itu  sangat menarik perhatianku.
Sebenarnya aku belum mengerti apa-apa tentang agama Nasrani dan  agama-agama lain. Kerana selama ini aku dikurung bapa di rumah, tidak  boleh bergaul dengan siapapun. Maka ketika aku mendengar suara mereka,  aku tertarik untuk masuk ke gereja itu  dan mengetahui apa yang sedang  mereka lakukan. Aku kagum dengan cara mereka bersembahyang dan ingin  menyertainya.
Kataku, "Demi Allah! ini lebih bagus daripada agama kami."Aku tidak  berganjak dari gereja itu sehinggalah petang. Sehingga aku terlupa untuk  ke kebun.
Aku bertanya kepada mereka, "Dari mana asal agama ini?"
"Dari Syam (Syria)," jawab mereka.
Setelah hari senja, barulah aku pulang. Bapa bertanyakan urusan kebun yang ditugaskan beliau kepadaku.
Jawabku, "Wahai, Bapa! Aku bertemu dengan orang sedang sembahyang di  gereja. Aku kagum melihat mereka sembahyang. Belum pernah aku melihat  cara orang sembahyang seperti itu. Kerana itu aku berada di gereja  mereka sampai petang."
Bapa menasihati akan perbuatanku itu. Katanya, "Hai, anakku! Agama  Nasrani itu bukan agama yang baik. Agamamu dan agama nenek moyangmu  (Majusi) lebih baik dari agama Nasrani itu!"
Jawabku, "Tidak! Demi Allah! Sesungguhnya agama merekalah yang lebih baik dari agama kita."
Bapa khuatir dengan ucapanku itu. Dia takut kalau aku murtad dari  agama Majusi yang kami anuti. Kerana itu dia mengurungku dan membelenggu  kakiku dengan rantai.
Ketika aku beroleh kesempatan, kukirim surat kepada orang-orang  Nasrani minta tolong kepada mereka untuk memaklumkan kepadaku andai ada  kafilah yang  akan ke Syam supaya memberitahu kepadaku. Tidak berapa  lama kemudian, datang kepada mereka satu kafilah yang hendak pergi ke  Syam. Mereka memberitahu kepadaku.
Maka aku berusaha untuk membebaskan diri daripada rantai yang  membelengu diriku dan melarikan diri bersama kafilah tersebut ke Syam.
Sampai di sana aku bertanya kepada mereka, "Siapa kepala agama Nasrani di sini?"
"Uskup yang menjaga "jawab mereka.
Aku pergi menemui Uskup seraya berkata kepadanya, "Aku tertarik masuk  agama Nasrani. Aku bersedia menadi pelayan anda sambil belajar agama  dan sembahyang bersama-sama anda."
'Masuklah!" kata Uskup.
Aku masuk, dan membaktikan diri kepadanya sebagai pelayan.
Setelah beberapa lama aku berbakti kepadanya, tahulah aku Uskup itu  orang jahat. Dia menganjurkan jama'ahnya bersedekah dan mendorong  umatnya beramal pahala. Bila sedekah mereka telah terkumpul, disimpannya  saja dalam perbendaharaannya dan tidak dibahagi-bahagikannya kepada  fakir miskin sehingga kekayaannya telah berkumpul sebanyak tujuh peti  emas.
Aku sangat membencinya kerana perbuatannya yang mengambil kesempatan  untuk mengumpul harta dengan duit sedekah kaumnya. tidak lama kemudian  dia meninggal. Orang-orang Nasrani berkumpul hendak menguburkannya.
Aku berkata kepada mereka, 'Pendeta kalian ini orang jahat.  Dianjurkannya kalian bersedekah dan digembirakannya kalian dengan pahala  yang akan kalian peroleh. Tapi bila kalian berikan sedekah kepadanya  disimpannya saja untuk dirinya, tidak satupun yang diberikannya kepada  fakir miskin."
Tanya mereka, "Bagaimana kamu tahu demikian?"
Jawabku, "Akan kutunjukkan kepada kalian simpanannya."
Kata mereka, "Ya, tunjukkanlah kepada kami!"
Maka kuperlihatkan kepada mereka simpanannya yang terdiri dan tujuh  peti, penuh berisi emas dan perak. Setelah mereka saksikan semuanya,  mereka berkata, "Demi Allah! Jangan dikuburkan dia!"
Lalu mereka salib jenazah uskup itu, kemudian mereka lempari dengan  batu. Sesudah itu mereka angkat pendeta lain sebagai penggantinya.  Akupun mengabdikan diri kepadanya. Belum pernah kulihat orang yang lebih  zuhud daripadanya. Dia sangat membenci dunia tetapi sangat cinta kepada  akhirat. Dia rajin beribadat siang malam. Kerana itu aku sangat  menyukainya, dan lama tinggal bersamanya.
Ketika ajalnya sudah dekat, aku bertanya kepadanya, "Wahai guru!  Kepada siapa guru mempercayakanku seandainya guru meninggal. Dan dengan  siapa aku harus berguru sepeninggalan guru?"
Jawabnya, "Hai, anakku! Tidak seorang pun yang aku tahu, melainkan  seorang pendeta di Mosul, yang belum merubah dan menukar-nukar  ajaran-ajaran agama yang murni. Hubungi dia di sana!"
Maka tatkala guruku itu sudah meninggal, aku pergi mencari pendeta  yang tinggal di Mosul. Kepadanya kuceritakan pengalamanku dan pesan  guruku yang sudah meninggal itu.
Kata pendeta Mosul, "Tinggallah bersama saya."
Aku tinggal bersamanya. Ternyata dia pendeta yang baik. Ketika dia  hampir meninggal, aku berkata kepada nya, "Sebagaimana guru ketahui,  mungkin ajal guru sudah dekat. Kepada siapa guru mempercayai seandainya   guru sudah tiada?"
Jawabnya, "Hai, anakku! Demi Allah! Aku tak tahu orang yang seperti kami, kecuali seorang pendeta di Nasibin. Hubungilah dia!"
Ketika pendeta Mosul itu sudah meninggal, aku pergi menemui pendeta  di Nasibin. Kepadanya kuceritakan pengalamanku serta pesan pendeta  Mosul.
Kata pendeta Nasibin, "Tinggallah bersama kami!"
Setelah aku tinggal di sana, ternyata pendeta Nasibin itu memang  baik. Aku mengabdi dan belajar dengannya sehinggalah beliau wafat.  Setelah ajalnya sudah dekat, aku berkata kepadanya, "Guru sudah tahu  perihalku maka kepada siapa harusku berguru seandainya guru meninggal?"
Jawabnya, "Hai, anakku! Aku tidak tahu lagi pendeta yang masih  memegang teguh agamanya, kecuali seorang pendeta yang tinggal di Amuria.  Hubungilah dia!"
Aku pergi menghubungi pendeta di Amuria itu. Maka kuceritakan kepadanya pengalamanku.
Katanya, "Tinggallah bersama kami!
Dengan petunjuknya, aku tinggal  di sana sambil mengembala kambing dan sapi. Setelah guruku sudah dekat  pula ajalnya, aku berkata kepadanya, "Guru sudah tahu urusanku. Maka  kepada siapakah lagi aku akan anda percayai seandainya  guru meninggal  dan apakah yang harus kuperbuat?"
Katanya, "Hai, anakku! Setahuku tidak ada lagi di muka bumi ini orang  yang berpegang teguh dengan agama yang murni seperti kami. Tetapi sudah  hampir tiba masanya, di tanah Arab akan muncul seorang Nabi yang diutus  Allah membawa agama Nabi Ibrahim.
Kemudian dia akan berpindah ke negeri yang banyak pohon kurma di  sana, terletak antara dua bukit berbatu hitam. Nabi itu mempunyai  ciri-ciri yang jelas. Dia mahu menerima dan memakan hadiah, tetapi tidak  mahu menerima dan memakan sedekah. Di antara kedua bahunya terdapat  tanda kenabian. Jika engkau sanggup pergilah ke negeri itu dan temuilah  dia!"
Setelah pendeta Amuria itu wafat, aku masih tinggal di Amuria,  sehingga pada suatu waktu segerombolan saudagar Arab dan kabilah "Kalb"  lewat di sana. Aku berkata kepada mereka, "Jika kalian mahu membawaku ke  negeri Arab, aku berikan kepada kalian semua sapi dan  kambing-kambingku."
Jawab mereka, "Baiklah! Kami bawa engkau ke sana."
Maka kuberikan  kepada mereka sapi dan kambing peliharaanku semuanya. Aku dibawanya  bersama-sama mereka. Sesampainya kami di Wadil Qura aku ditipu oleh  mereka. Aku dijual kepada seorang Yahudi. Maka dengan terpaksa aku pergi  dengan Yahudi itu dan berkhidmat kepadanya sebagai hamba. Pada suatu  hari anak saudara majikanku datang mengunjunginya, iaitu Yahudi Bani  Quraizhah, lalu aku dibelinya daripada majikanku.
Aku berpindah  ke Yastrib dengan majikanku yang baru ini. Di sana aku  melihat banyak pohon kurma seperti yang diceritakan guruku, Pendeta  Amuria. Aku yakin itulah kota yang dimaksud guruku itu. Aku tinggal di  kota itu bersama majikanku yang baru.
Ketika itu Nabi yang baru diutus sudah muncul. Tetapi baginda masih  berada di Makkah menyeru kaumnya. Namun begitu aku belum mendengar  apa-apa tentang kehadiran serta da'wah yang baginda sebarkan kerana aku  terlalu sibuk dengan tugasku sebagai hamba.
Tidak berapa lama kemudian, Rasulullah saw. berpindah ke Yastrib.  Demi Allah! Ketika itu aku sedang berada di puncak pohon kurma  melaksanakan tugas yang diperintahkan majikanku. Dan majikanku itu duduk  di bawah pohon. Tiba-tiba datang anak saudaranya mengatakan, "Biar  mampus Bani Qaiah!( kabilah Aus dan Khazraj) Demi Allah! Sekarang mereka  berkumpul di Quba' menyambut kedatangan lelaki dari Makkah yang  mendakwa dirinya Nabi."
Mendengar ucapannya itu badanku terasa panas dingin seperti demam,  sehingga aku menggigil kerananya. Aku kuatir akan jatuh dan tubuhku akan  menimpa majikanku. Aku segera turun dari puncak ponon, lalu bertanya  kepada tamu itu, "Apa kabar anda? Cubalah khabarkan kembali kepadaku!"
Majikanku marah dan memukulku seraya berkata, "Ini bukan urusanmu! Kerjakan tugasmu kembali!"
Keesokannya aku mengambil buah kurma seberapa banyak yang mampu kukumpulkan. Lalu kubawa ke hadapan Rasulullah saw..
Kataku "Aku tahu tuan orang soleh. Tuan datang bersama-sama sahabat   tuan sebagai perantau. Inilah sedikit kurma dariku untuk sedekahkan  kepada tuan. Aku lihat tuanlah yang lebih berhak menerimanya daripada  yang lain-lain." Lalu aku hulurkan kurma itu ke hadapannya.
Baginda berkata kepada para sahabatnya, "silakan kalian makan,...!"  Tetapi baginda tidak menyentuh sedikit pun makanan itu apalagi untuk  memakannya.
Aku berkata dalam hati, "Inilah satu di antara ciri cirinya!"
Kemudian aku pergi meninggalkannya dan kukumpulkan pula sedikit demi  sedikit kurma yang terdaya kukumpulkan. Ketika Rasulullah saw. pindah  dari Quba' ke Madinah, kubawa kurma itu kepada baginda.
Kataku, "Aku lihat tuan tidak mahu memakan sedekah. Sekarang kubawakan sedikit kurma, sebagai hadiah untuk tuan."
Rasulullah saw. memakan buah kurma yang kuhadiahkan kepadanya. Dan  baginda mempersilakan pula para sahabatnya makan bersama-sama dengannya.  Kataku dalam hati, "ini ciri kedua!"
Kemudian kudatangi baginda di Baqi', ketika baginda menghantar  jenazah sahabat baginda untuk dimakamkan di sana. Aku melihat baginda  memakai dua helai kain. Setelah aku memberi salam kepada baginda, aku  berjalan mengekorinya sambil melihat ke belakang baginda untuk melihat  tanda kenabian yang dikatakan guruku.
Agaknya baginda mengetahui maksudku. Maka dijatuhkannya kain yang  menyelimuti belakangnya, sehingga aku melihat dengan jelas tanda  kenabiannya.
Barulah aku yakin, dia adalah Nabi yang baru diutus itu. Aku terus memeluk bagindanya, lalu kuciumi dia sambil menangis.
Tanya Rasulullah, "Bagaimana khabar Anda?"
Maka kuceritakan kepada beliau seluruh kisah pengalamanku. Beliau  kagum dan menganjurkan supaya aku menceritakan pula pengalamanku itu  kepada para sahabat baginda. Lalu kuceritakan pula kepada mereka. Mereka  sangat kagum dan gembira mendengar kisah pengalamanku.
Berbahagilah Salman Al-Farisy yang telah berjuang mencari agama yang  hak di setiap tempat. Berbahagialah Salman yang telah menemukan agama  yang hak, lalu dia iman dengan agama itu dan memegang teguh agama yang  diimaninya itu. Berbahagialah Salman pada hari kematiannya, dan pada  hari dia dibangkitkan kembali kelak.
Salman sibuk bekerja sebagai hamba. Dan kerana inilah yang  menyebabkan Salman terhalang mengikuti perang Badar dan Uhud.  "Rasulullah saw. suatu hari bersabda kepadaku, "Mintalah kepada  majikanmu untuk bebas, wahai Salman!" Maka majikanku membebaskan aku  dengan tebusan 300 pohon kurma yang harus aku tanam untuknya dan 40  uqiyah.
Kemudian Rasulullah saw. mengumpulkan para sahabat dan bersabda,  "Berilah bantuan kepada saudara kalian ini." Mereka pun membantuku  dengan memberi pohon (tunas) kurma. Seorang sahabat ada yang memberiku  30 pohon, atau 20 pohon, ada yang 15 pohon, dan ada yang 10 pohon,  setiap orang sahabat memberiku pohon kurma sesuai dengan kadar kemampuan  mereka, sehingga terkumpul benar-benar 300 pohon.
Setelah terkumpul Rasulullah saw. bersabda kepadaku, "Berangkatlah  wahai Salman dan tanamlah pohon kurma itu untuk majikanmu, jika telah  selesai datanglah kemari aku akan meletakkannya di tanganku."
Aku pun menanamnya dengan dibantu para sahabat. Setelah selesai aku  menghadap Rasulullah saw. dan memberitahukan perihalku, Kemudian  Rasulullah saw. keluar bersamaku menuju kebun yang aku tanami itu. Kami  dekatkan pohon (tunas) kurma itu kepada baginda dan Rasulullah  saw. pun  meletakkannya di tangan baginda. Maka, demi jiwa Salman yang berada di  tanganNya, tidak ada sebatang pohon pun yang mati.
Untuk tebusan pohon kurma sudah dipenuhi, aku masih mempunyai  tanggungan wang sebesar 40 uqiyah. Kemudian Rasulullah  saw. membawa  emas sebesar telur ayam hasil dari rampasan perang. Lantas baginda  bersabda,  "Apa yang telah dilakukan Salman al-Farisi?"
Kemudian aku dipanggil baginda, lalu baginda bersabda,  "Ambillah emas ini, gunakan untuk melengkapi tebusanmu wahai Salman!"
"Wahai Rasulullah saw., bagaimana status emas ini bagiku? Soalku inginkan kepastian daripada baginda.
Rasulullah menjawab, "Ambil saja! Insya Allah, Allah Subhanahu wa  Ta'ala akan memberi kebaikan kepadanya." Kemudian aku menimbang emas  itu. Demi jiwa Salman yang berada di tanganNya, berat ukuran emas itu 40  uqiyah. Kemudian aku penuhi tebusan yang harus aku serahkan kepada  majikanku, dan aku dimerdekakan.
Setelah itu aku turut serta bersama Rasulullah saw. dalam perang  Khandaq, dan sejak itu tidak ada satu peperangan yang tidak aku ikuti.'
(HR. Ahmad, 5/441; ath-Thabrani dalam al-Kabir(6/222); lbnu Sa'ad dalamath-Thabagat, 4/75; al-Balhaqi dalam al-kubra, 10/323.)
sumber : iluvislam.com